Populasi Buaya Di Sabah Dijangka Diketahui Hujung Tahun Ini

Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Dr Benoit Goossens.

KINABATANGAN: Jumlah sebenar ‘sang bedal’ mendiami sungai utama di Sabah, termasuk di Sungai Kinabatangan, di sini dijangka hanya dapat diketuai selepas hasil kajian penuh populasinya diperoleh akhir tahun ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Dr Benoit Goossens, berkata kajian itu kali terakhir dilaksanakan di Sungai Kinabatangan pada 2002 oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, dengan merekodkan kepadatan 1:45 buaya bagi setiap satu kilometer sungai berkenaan.

Katanya, angka buaya di seluruh negeri dilihat masih stabil berbanding tinjauan pada 2002 dan kajian lanjut penting bagi menentukan kecenderungan sebenar angka populasi buaya.

“Angka pada tahap kajian sekarang masih belum terlalu stabil untuk memberikan pemahaman yang konkrit dan hanya boleh ditentukan pada akhir kajian.

“Justeru, paling penting untuk penduduk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak risiko diserang susulan konflik buaya – manusia, malah penyelesaian terbaik adalah keluar dari sungai yang menjadi habitat semulajadinya,” katanya kepada BH, di sini.

Goossens berkata, ketika ini, hanya spesies buaya air masin atau buaya tembaga yang ditemui di Sungai Kinabatangan dan beberapa sungai utama lain di Sabah.

Beliau menjelaskan buaya julung-julung atau nama saintifiknya Tomistoma schlegelii yang bersaiz lebih kecil yang biasanya ditemui di Sarawak berkemungkinan terdapat di barat Sabah dalam angka kecil, namun kewujudan reptilia itu tidak dapat disahkan.

“Berdasarkan sejarah, buaya mendiami kawasan pedalaman dan luar bandar yang rendah kepadatan manusia dan secara amnya sangat jarang menjadi lebih agresif, malah manusia dan buaya boleh hidup dalam jarak dekat.

“Bagaimanapun, gangguan pada habitat disebabkan penebangan hutan dan pembukaan ladang mungkin meningkatkan konflik. Buaya paling berbahaya apabila musim mengawan atau membiak yang mana buaya betina menjadi sangat agresif untuk mempertahankan sarang mereka,” katanya.

Goossens turut mencadangkan agar penduduk yang mendiami tebing sungai agar membina halangan mudah yang tidak dapat dilepasi buaya bagi membolehkan mereka terus menggunakan kawasan tebing sungai dalam kehidupan harian.

Katanya, penduduk juga perlu melakukan aktiviti pada waktu siang jika benar-benar perlu berhampiran air bagi memudahkan mereka mengesan kehadiran `Sang Bedal’.

“Buaya boleh menyerang pada bila-bila masa, tapi lebih aktif pada waktu senja dan malam serta jangan sesekali menghampiri sarang buaya,” katanya. – Berita Harian