Labuan: Dua individu yang dipercayai penumpang bot laju bukan hanya mengalami kerugian tetapi turut berputih mata apabila cubaan menyeludup rokok dari pulau bebas cukai di sini berjaya digagalkan sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.
Kegiatan individu terbabit yang menggunakan ‘jalan belakang’ dengan membayar kadar tambang tinggi kepada pengusaha bot bagi membolehkan sejumlah rokok tidak bercukai diseludup keluar dari sini berjaya dikesan dalam dua siri Ops Landai pada Jumaat.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, kedua-dua individu terbabit yang tidak diketahui bagaimanapun enggan mengaku sebagai pemilik rokok bagi mengelakkan ditahan.
“Rampasan pertama berjaya dilakukan kira-kira jam 10.45 pagi apabila sebuah bot penumpang yang menuju ke Menumbok ditahan di kawasan laut Terminal Feri Antarabangsa Labuan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 karton yang mengandungi 3,000 batang rokok disorokkan di bahagian bawah ruang bot.
“Tiada di antara penumpang serta pengendali bot yang mengakui sebagai pemilik terhadap rokok terbabit,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira tiga jam kemudian pasukan PPM yang meronda menggunakan botronda PAC44 sekali lagi berjaya merampas 15 karton rokok jenama sama pada jam 1 petang.
“Rokok yang disorokkan di bahagian bawah ruang simpanan petrol juga tidak diketahui pemiliknya berikutan tiada yang mengakui memiliki barangan berkenaan,” katanya.
Pajeri berkata, kesemua 6,000 batang rokok di dalam 30 karton itu dianggarkan bernilai RM7,500 termasuk cukai.
“Barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk dirujuk kepada Jabatan Kastam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam 1967,” katanya.
Tambahnya, operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibanteras.