Aktif Pecah Kedai Dan Pejabat, Lelaki Dikehendaki Polis Beaufort Dicekup Di Sandakan

Taktik lelaki pecah pejabat dan kedai terbongkar

Sandakan: Bergerak dari sebuah daerah ke daerah lain dengan menyasarkan bangunan pejabat dan kedai untuk mencuri wang.

Itu taktik seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun sebelum kegiatannya terbongkar apabila ditahan ketika memecah masuk Pejabat Perangkaan di Bangunan Persekutuan, Batu 7, di sini, semalam.

Lelaki terbabit yang dipercayai baru beberapa hari ke daerah ini disyaki untuk melakukan jenayah ditahan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai enam kes jenayah lampau membabitkan kesalahan curi, pecah rumah dan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek yang beralamat di Kampung Likas, Kota Kinabalu itu positif dadah jenis syabu, selain dikehendaki di daerah Beaufort atas kesalahan pecah rumah.

“Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut. Siasatan mendapati suspek baru beberapa hari datang ke daerah ini dan menggunakan motosikal untuk melakukan kegiatannya.

“Kita percaya suspek turut terbabit dalam kes jenayah di daerah lain,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan, di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu dilancarkan polis bersama agensi penguat kuasa di tiga lokasi di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang ditahan membabitkan 43 lelaki dan 22 wanita berusia antara 17 tahun hingga 65 tahun dalam operasi di Kampung Forest, kawasan penempatan Batu 2 dan pusat bandar, di sini.

Mohd Azhar berkata, operasi bermula pada jam 3 pagi hingga jam 7 pagi tadi membabitkan 75 anggota yang bertujuan bagi menangani masalah jenayah, kebanjiran PATI, masalah dadah dan menjalankan perobohan di penempatan haram.

“Semua yang ditahan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk pemeriksaan dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Operasi akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan daerah ini selamat dan bebas daripada segala ancaman keselamatan dari luar, sekali gus mengurangkan jenayah indeks, dadah dan masalah sosial yang banyak berlaku,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *