Kerajaan Sabah Fokus Pembangunan Seimbang – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memastikan pembangunan seimbang dilaksana di negeri ini agar semua golongan mendapat manfaat dan menikmati pembangunan yang dirancang.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, penting bagi kerajaan memastikan kekayaan sumber dan pertumbuhan ekonomi dikongsi bersama agar mereka yang berada di kawasan luar bandar turut mendapat manfaatnya.

Beliau berkata, pembangunan seimbang ini penting dalam mengatasi jurang perbezaan pembangunan dalam kalangan masyarakat. Sekiranya ia dapat dilaksana, bukan hanya pembangunan mampan, pembangunan politik juga dapat dikecapi.

“Masyarakat akan dapat sertai apa juga dasar, polisi dan projek yang dibangunkan pemerintah, ia dapat dirasai semua masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Forum ‘Sabah Baharu: Cabaran Baharu, Realiti Baharu & Peluang Baharu’ anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (Sabah) dan Institut Strategik Kingley, di sini pada Selasa.

Beliau berharap input melalui forum itu dapat melahirkan pelbagai pandangan kerana kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan bagi memastikan dasar dilaksana difahami semua pihak termasuk penjawat awam, sektor swasta mahupun orang awam.

Beliau berkata, mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dan meningkatkan pembangunan secara menyeluruh adalah aspek utama dalam mempromosikan pembangunan ekonomi mampan.

“Sabah menunjukkan usaha yang baik dalam mengurangkan jurang kemiskinan iaitu kepada 2.9 peratus pada 2016 berbanding 4 peratus pada 2014. Namun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan sasaran menurunkan kadar kemiskinan dibawah 1 peratus menjelang 2020 dapat dicapai,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, langkah terbaik perlu dikenalpasti bagi memastikan kekayaan sumber dan tanggungjawab membawa pembangunan seimbang dikongsi bersama supaya tiada golongan yang ketinggalan terutama mereka yang berada di luar bandar.

Mengenai pembangunan alam sekitar yang mampan, beliau mahu sektor awam dan swasta saling bekerjasama agar dapat menarik kemasukan pelabur, teknologi moden dan pakar dari sektor swasta untuk menyokong pembangunan yang dilaksana kerajaan.

Dalam berdepan Revolusi Industri 4.0 (RI4.0), komuniti peniaga perlu manfaatkan teknologi digital dalam memasarkan produk masing-masing.

Berdasarkan SME Corp Malaysia, pada 2017 Industri Kecil & Sederhana (IKS) menyumbang 98.5 peratus perniagaan yang dijalankan di Malaysia. Ia turut membuka 66 peratus peluang perniagaan dan menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Mohd Shafie juga mahu tanah-tanah yang ada di Sabah juga perlu dibangunkan agar mereka yang berada di luar bandar dapat menjana pendapatan lebih baik.

“Kita telah kenalpasti kawasan yang berpotensi di Tawau untuk dibangunkan Terminal Makanan serta tanah-tanah yang ada di Sabah agar ia boleh ditanam dengan buah-buahan yang mempunyai harga yang tinggi dan pasaran yang baik. Buah-buahan seperti limau bali (pamelo) mempunyai kadar putaran yang singkat untuk mendapatkan hasil.

“Jika di Ranau mereka boleh mengeluarkan cili padi atau sayuran yang berkualiti tinggi, Malaysia tidak perlu mengimport sayuran dari Indonesia lagi,” ujarnya.

Menyentuh tentang sumbangan sektor pelancongan terhadap pembangunan Sabah, sektor ini menyumbang RM84.1bilion kepada ekonomi negara. Jumlah itu disasarkan terus meningkat kepada RM100bilion melalui kemasukan pelancong yang dianggarkan seramai 30juta menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Untuk mencapai sasaran itu, usaha mempromosikan keunikan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Malaysia perlu dilakukan termasuklah meningkatkan aspek keselamatan supaya dapat menarik kemasukan pelancong.

Di Sabah pula, pembangunan industri pelancongan akan terus dilakukan agar Sabah menjadi destinasi pilihan di Asia.

“Usaha mempromosikan destinasi pelancongan di Pantai Timur Sabah seperti Tawau, Semporna,Lahad Datu dan Sandakan akan dilakukan kerana kawasan sebegitu mempunyai banyak tarikan pelancongan berasaskan alam semulajadi yang menarik,” ujarnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *