Kawasan Karamunting Perlu Pembangunan Perumahan Terancang

Rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sim-Sim, di Sandakan pada September 2017

Sandakan, 18 Jun – Pembangunan perumahan terancang akan dilaksanakan di Sandakan, khususnya di kawasan Karamunting dekat sini yang mengalami beberapa kejadian kebakaran dalam tempoh setahun lepas.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata kementeriannya akan berbincang mencari kaedah terbaik untuk memastikan keselesaan rakyat di kawasan itu, khususnya yang terjejas dengan kejadian kebakaran.

“Sandakan antara daerah yang mempunyai paling banyak setinggan dan antaranya didirikan di tepi laut.

“Jabatan dan agensi berkaitan di bawah kementerian saya akan berbincang dan merancang pembangunan perumahan yang sesuai untuk keselesaan rakyat di sana (Karamunting),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya bersama Majlis Perbandaran Sandakan di sini hari ini.

Jaujan mengulas masalah perumahan mangsa kebakaran di kawasan itu.

Dalam kejadian terbaharu pada 8 Jun lepas, lebih 30 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting.

Pada Mac, lebih 30 rumah juga musnah dalam kebakaran di Kampung Air, manakala kira-kira 90 rumah musnah dalam kejadian serupa di Kampung Gas tahun lepas.

Jaujan turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di semua 25 daerah di Sabah supaya mengurus daerah masing-masing dengan baik dan mengutamakan keselesaan dan keselamatan rakyat dalam perancangan pembangunan daerah.

— BERNAMA

997