Rayu Menteri Lulus Pembinaan Menara Telekomunikasi Di Kiulu

Kota Kinabalu, 18 Jun – Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) merayu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk memberikan kelulusan khas pembinaan menara telekomunikasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.

Naib Presiden Pekadin Saimon Malubi berkata ia untuk kemudahan ratusan murid di empat sekolah rendah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mantob, SK Lokub, SK Pukak dan SK Kitapol serta ribuan penduduk di sekitar kawasan DUN itu.

Beliau berkata walaupun kawasan itu terletak hanya dalam lingkungan 55 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, namun ribuan penduduk sekitar dan empat sekolah berkenaan merasakan seolah-olah berada di kawasan hutan di tengah-tengah Sabah kerana terputus perhubungan dengan masyarakat luar.

Selain itu, katanya kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi penting dalam era globalisasi pendidikan.

Sehubungan itu, Saimon berkata Pekadin memohon jasa baik kerajaan Malaysia baharu agar dapat merealisasikan impian murid dan ribuan penduduk di kawasan berkenaan untuk menikmati pembangunan telekomunikasi khususnya kemudahan jalur lebar.

Beliau berkata penduduk di kawasan itu sudah sekian lama menanti kemudahan itu tetapi malangnya selepas beberapa dekad apa yang mereka harapkan masih tidak kesampaian.

“Oleh itu, Pekadin menaruh harapan tinggi agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dapat mempertimbangkan rayuan ini.

“Kemudahan wi-fi untuk kawasan sekolah sahaja tidak memadai…apa yang mereka mahu ialah kemudahan jalur lebar untuk kawasan sekolah dan ribuan penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saimon berkata Pekadin bersimpati dengan nasib murid dan penduduk di situ yang terpinggir begitu lama daripada arus perdana pembangunan telekomunikasi terutama jalur lebar.

Katanya walaupun menyedari masih banyak lagi kawasan kampung terpencil yang belum menikmati kemudahan jalur lebar di Sabah, namun Pekadin berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia cawangan Sabah dapat meluangkan masa turun padang memeriksa sendiri dan meneliti justifikasi rayuan ini.

Difahamkan juga, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu akan mengemukakan permohonan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *