Lelaki Ditemui Mati Dipercayai Gantung Diri Di Bangunan Plaza Orchard, Tenom

Gambar Hiasan

Belanja kawan makan sebelum bunuh diri

TENOM: Pekerja buruh kasar ditemui mati selepas dipercayai menggantung dirinya dalam kejadian di tandas kuarters pekerja di bangunan Plaza Orchard, di Tenom, semalam.

Dalam kejadian 3 pagi, lelaki berusia 19 tahun itu ditemui tergantung oleh rakannya sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

Menurut sumber, sebelum kejadian, lelaki terbabit membawa rakan-rakannya makan di restoran dan kali terakhir mereka berjumpa sekitar 2 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Superintendan Ahmad Razali Shaari ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 4 pagi.

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai menumpang di kuarters itu kerana dikatakan tidak mempunyai tempat tinggal tetap.

“Lelaki itu didapati menggantung diri di dalam tandas kuarters menggunakan kabel pencucuk saluran tandas dan dia sebelum ini dipercayai mengalami tekanan jiwa serta ada masalah keluarga,” katanya.

Katanya lagi, mayat lelaki itu dibawa turun oleh rakannya dari tempat dia menggantungkan diri untuk mendapatkan bantuan ambulans.

“Hasil pemeriksaan, lelaki itu sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Tenom untuk dibedah siasat.

“Siasatan juga mendapati kejadian itu tiada sebarang unsur jenayah namun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ahmad Razali berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *