Polis Buru 3 Anggota Kumpulan James

Habibi (tengah) menunjukkan tiga lagi anggota kumpulan James yang diburu polis selepas terbabit dalam kes samun di sebuah rumah banglo di Jalan Sembulan, Jumaat lalu. – FOTO BERITA RTM SABAH

3 anggota kumpulan James diburu polis

Kota Kinabalu: Dua berjaya diberkas manakala tiga lagi anggota kumpulan James diburu polis selepas terbabit dalam kes samun di sebuah rumah banglo di Jalan Sembulan, Jumaat lalu.

Habibi (tengah) menunjukkan tiga lagi anggota kumpulan James yang diburu polis selepas terbabit dalam kes samun di sebuah rumah banglo di Jalan Sembulan, Jumaat lalu. – FOTO BERITA RTM SABAH

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga daripada lima suspek bertindak menyamun rumah berkenaan, menyebabkan kerugian sehingga RM83,000.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11 pagi selepas wanita yang juga pembantu rumah itu didatangi tiga suspek lelaki tempatan dengan bersenjata jenis pisau.

“Dua suspek memakai topeng untuk mengelak daripada dikenali ketika melakukan samun, salah seorang suspek bertindak mengacu pisau kepada mangsa dan mengugutnya supaya menunjukkan barang kemas yang disimpan oleh pemilik rumah.

“Dua suspek berkenaan terus ke bilik utama pemilik rumah dan menggeledah rumah berkenaan sebelum melarikan barang kemas, beg berjenama, wang tunai RM8,000 dan RM10,000 mata wang asing,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Habibi berkata bertindak atas maklumat hasil risikan, IPD Kota Kinabalu berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan di Plaza 2 Luyang, dekat sini, pada keesokan harinya.

“Dua suspek masing-masing berusia 41 dan 48 tahun ditahan pada jam 7.30 malam dan hasil tangkapan ini, polis berjaya merampas beberapa barang kes, antaranya sebuah Proton Saga, kunci kenderaan, telefon dan topeng muka yang digunakan ketika menyamun.

“Hasil risikan juga mendapati terdapat lima suspek, yang mana dua sudah ditangkap manakala tiga lagi berusia antara 31 hingga 51 tahun masih bebas, namun sudah dikenal pasti,” katanya.

Katanya lagi, tiga suspek yang masih bebas termasuk ketua kumpulan dikenali sebagai James, dipercayai sudah keluar dari kawasan Kota Kinabalu dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan termasuk bantuan daripada orang awam untuk memaklumkan kepada polis.

“Saya percaya, dengan tangkapan dua suspek ini kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dilakukan di sekitar negeri ini.

“Kumpulan James ini baru pertama kali cuba melakukan samun dalam rumah di kawasan Kota Kinabalu dan tiga lagi suspek sudah kenal pasti dan saya berharap masyarakat, jika mengenali suspek, menghubungi IPD Kota Kinabalu untuk menyelesaikan kes yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Habibi turut memaklumkan dua suspek yang diberkas mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *