PPM Tahan Empat PATI, Rampas 3,030 Liter Minyak Petrol Di Tawau

PPM merampas 101 jerikin berisi 3,030 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke negara Filipina. – Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

TAWAU, 13 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 3,030 liter minyak petrol serta menahan empat pendatang asing tanpa izin warga Filipina dalam Op Gelora Khas di kawasan perairan Batu 4, dekat sini, malam semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua rampasan serta penahanan empat lelaki berusia 17 hingga 22 tahun itu dilakukan antara 10.30 malam hingga 12 tengah malam hasil maklumat intipan Unit Risikan Marin (URM).

Ketiga-tiga bot berkenaan dipenuhi muatan minyak petrol. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Anggota yang melakukan serbuan di jambatan perkampungan atas air Batu 4 di sini menjumpai dua bot pam (tanpa pemilik) dengan setiap bot berisi 10 tong jerigen (300 liter minyak petrol) dan 38 tong jerigen (1,140 liter minyak petrol),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketika serbuan itu dilakukan, katanya, sebuah bot pam didapati bergerak menuju ke arah laut cuba melarikan diri tetapi berjaya dipintas bot ronda PPM.

Ketiga-tiga bot berkenaan dipenuhi muatan minyak petrol. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

Namun, Mohamad Pajeri berkata dua lelaki dari dalam bot terjun ke laut dan salah seorang itu dipercayai juragan bot berkenaan.

“Kedua-duanya gagal dikesan ekoran keadaan gelap dan pemeriksaan di dalam bot menemukan empat lelaki tiada dokumen diri sah mengaku sebagai penumpang dan dipercayai menuju ke Filipina.

Di samping 53 tong jerigen berisi 1,590 liter minyak petrol dijumpai dalam ruangan bot itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata kesemua tahanan dan barang rampasan termasuk tiga bot pam dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketiga-tiga bot berkenaan dipenuhi muatan minyak petrol. Gambar Pasukan Polis Marin W4 Sabah

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *