PENAMPANG: Hujan berterusan sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini ditenggelami air setelah Sungai Moyog melimpahi tebing.
Jalan Inobong Putaton Bansadon pula terputus apabila sebuah “sinkhole” berukuran 6 meter lebar dan 4 meter dalam muncul sekitar jam 5 petang.
Menurut Jabatan Bomba, tiada jalan alternatif buat masa ini dan pihak konsesi penyelenggaraan jalanraya diminta memasang papan tanda amaran kepada pengguna jalanraya.
Antara kawasan yang terlibat dengan banjir ialah Limbanak, Sugud dan Kibabaig.
Ahli Parlimen Penampang Datuk Darell Leiking masih belum dapat dihubungi mengenai usaha membantu mangsa banjir.
Difahamkan rumah Ahli Parlimen Penampang turut ditenggelami air.
Bagaimanapun, bomba memberitahu bahawa pusat pemindahan sementara Penampang telah ditutup pada jam 9 malam tadi.
Tiada mangsa banjir yang dipindahkan.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir di Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Ranau), Sandakan dan Labuan akan berlanjutan sehingga jam 11 malam ini.-SabahNewsToday