Trauma Melihat Buaya ‘Berkejaran’ Di Sungai Kinabatangan

Salimah Pilit bimbang terhadap kehadiran buaya hitam dan keselamatan keluarga kerana kedudukan rumahnya cuma terletak 10 meter dari tebing Sungai Kinabatangan di Kampung Sukau. – Foto Poliana Ronnie Sidom

Trauma Melihat Buaya ‘Berkejaran’

KINABATANGAN: Pengalaman melihat buaya saling ‘berkejaran’ di Sungai Kinabatangan, di sini awal tahun masih tidak dapat dilupakan Salimah Pilit, 46, penduduk dari Kampung Sukau yang terletak berhampiran sungai berkenaan.

Dengan kedudukan rumahnya hanya 10 meter dari tebing sungai membolehkan ibu kepada tujuh anak itu melihat jelas kehadiran `Sang Bedal’ hingga menimbulkan rasa trauma padanya untuk ke sungai berkenaan, termasuk mengikuti suaminya menangkap udang.

Salimah berkata, beliau berada di beranda rumah ketika mendengar bunyi kocakan air yang kuat sebelum melihat seekor buaya mengejar buaya lain dengan kelajuannya boleh disamakan seperti bot laju.

“Ini kali pertama saya lihat kejadian begitu. Biarpun sudah beberapa bulan berlalu, saya masih menggeletar bila ke sungai. Buaya di sini semakin agresif dan berani menghampiri penduduk. Kalau dulu kami cuma ketuk perahu atau pokok, ia lari.

“Namun, sekarang ini apabila terdengar saja suara manusia, ada buaya berwarna hitam datang menghampiri penduduk, dengan saiznya agak besar,” katanya kepada BH, di sini.

Salimah berkata, buaya hitam itu sudah beberapa kali muncul di sungai berkenaan, malah penduduk setempat percaya ia berasal dari kawasan lain tetapi tersesat atau dilepaskan ke situ.

Katanya, insiden terbaru berlaku pertengahan tahun lalu apabila seorang penduduk yang tinggal di seberang sungai Kampung Sukau cuba diserang buaya ketika mandi.

“Kita tidak kisah dengan buaya sedia ada di sungai ini, cuma tidak mahu ada buaya dari luar, yang biasa diberi makan dilepaskan ke sini kerana sungai ini juga sumber rezeki penduduk. Jika ada buaya ganas di sini, lebih baik sahaja ia ditangkap sebelum ada penduduk menjadi korban,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Ismail Abdul Hamid, 63, berkata populasi buaya di sungai berkenaan semakin bertambah, malah ada di antaranya bersaiz sebesar perahu dan sering timbul pada lewat petang hingga malam mencari makanan.

“Bukan saja keselamatan kita, bahkan pukat dipasang juga rosak dilanggar buaya yang mungkin mahu makan ikan tersangkut. Dalam tempoh setahun, kita terpaksa tukar pukat lebih lima kali dengan harga satu pukat boleh mencecah RM200,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *