8 PATI Ditahan Cuba Seludup Masuk Ke Sabah

Antara Pendatang Tanpa Izin Yang Ditahan Selepas Cuba Masuk Ke Sabah Melalui Perairan Lahad Datu Ditahan Pihak Berkuasa

Lahad Datu: Cubaan 8 warga asing menyeludup masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah gagal selepas pergerakan mereka berjaya dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika dari Kampung Desa Bajau, di sini.

Antara Pendatang Tanpa Izin Yang Ditahan Selepas Cuba Masuk Ke Sabah Melalui Perairan Lahad Datu Ditahan Pihak Berkuasa

Pengarah Zon Maritim Malaysia Lahad Datu, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata kejayaan itu susulan operasi khas, Op Pluto Timur, yang dijalankan agensi berkenaan, khususnya di kawasan perairan daerah berkenaan.

Katanya, ketika rondaan dilakukan, pegawai dan anggota Maritim Malaysia terserempak dengan sebuah bot pam, dipercayai dari negara jiran dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Antara Pendatang Tanpa Izin Yang Ditahan Selepas Cuba Masuk Ke Sabah Melalui Perairan Lahad Datu Ditahan Pihak Berkuasa

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki 13 individu, termasuk seorang tekong berusia 65 tahun dan dua kanak-kanak warga Filipina. Bagaimanapun, lapan daripadanya gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Daripada keseluruhan yang ditahan, tujuh adalah lelaki dewasa berusia lingkungan 28 hingga 55 tahun, manakala seorang lagi adalah remaja perempuan berusia 17 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya. – Berita Harian

794