KOTA KINABALU, 13 Jun Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan kira-kira RM130 juta untuk menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal di tiga daerah di Sabah bagi memperkasa lagi sistem pengurusan sisa pepejal dengan lebih efisien dan terurus di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata peruntukan itu bagi menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal Kayu Madang, dekat sini, dengan kos RM40 juta serta dua pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal baharu di Beaufort dan Tawau masing-masing melibatkan kos RM45 juta.
Katanya, kerja menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal Kayu Madang akan dimulakan tahun ini dengan menerapkan teknologi terkini termasuk rawatan air larut resap bagi mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar termasuk bau busuk supaya tidak menjejaskan kesihatan penduduk setempat.
“Usaha menaik taraf tapak pelupusan sampah Kayu Madang akan dapat menambah baik operasi pelupusan sisa pepejal. Jadi, masyarakat tidak lagi bimbang mengenai sampah tidak diurus dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Mohammad Mintek di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sabah, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Sementara itu, Mohammad berkata, projek pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal di Beaufort kini sedang di peringkat reka bentuk dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan, manakala, tapak pelupusan sisa pepejal di Tawau pula akan siap pada Oktober ini.
Beliau berkata kedua-dua projek pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal baharu itu juga menerapkan teknologi baharu dalam operasi pengurusan sisa pepejal termasuk penggunaan sel tapak pelupusan dan rawatan air larut resap.
“Tapak pelupusan sisa pepejal di Tawau berkapasiti 250 tan sehari. Tapak pelupusan di Beaufort pula mengambil kira keperluan (pengurusan) sisa pepejal bagi kawasan Beaufort, Sipitang, Menumbok dan Papar,” katanya.
Mohammad berkata peruntukan itu juga adalah antara bukti komitmen kerajaan pusat dalam memastikan pengurusan sampah lebih sistematik di Sabah meskipun negeri ini tidak menguatkuasakan Akta 672 dan penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Kita berharap dengan adanya tapak pelupusan sanitari ini, pengurusan sisa pepejal di Sabah dapat dipertingkatkan sekali gus pembuangan sampah secara haram dapat dikurangkan,” katanya.
— BERNAMA