Blok Baharu Fasa 1 Hospital Papar Siap sepenuhnya Hujung Bulan Ini

Hospital Papar

PAPAR, 13 Jun – Blok baharu Fasa 1 Hospital Papar bakal siap sepenuhnya hujung bulan ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Beliau berkata pembinaan projek fasa satu menaik taraf hospital berkenaan yang memakan belanja sebanyak RM6.5 juta mengalami kelewatan dan sepatutnya dijadualkan siap pada 2 Nov 2018.

Foto Bernama

“Projek ini telah dimulakan pada 3 Nov 2016 dan blok bangunan baharu ini antaranya akan menempatkan Unit Hemodialisis dan satu dewan bedah,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengarah Hospital Papar Dr Norhezan Mohd Seri.

Dr Chen berkata pembinaan fasa dua bangunan baharu Hospital Papar pula kini 8.87 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2021.

“Projek bernilai RM65 juta ini lewat satu tahun disebabkan oleh masalah tapak tanah dan saya lihat proses pembinaannya berjalan lancar selepas masalah berkenaan selesai,” katanya.

Beliau berkata bangunan baharu itu antaranya bakal menempatkan unit kecemasan, makmal patologi, tabung darah, satelit farmasi dewan bedah, wad, sistem kejuruteraan dan unit sajian.

“Apabila siap kelak, katil wad di hospital ini akan bertambah daripada 77 ke 104 katil dan ia akan lebih selesa kepada kakitangan dan juga kepada pesakit,” katanya.

Sementara itu, Dr Chen mengingatkan para kontraktor yang mendapat projek pembinaan di kementerian berkenaan agar lebih komited agar projek yang dipertanggungjawabkan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kita lihat ada kontraktor yang kurang komited untuk melaksankan projek yang diberikan…kita tidak mahu sering kali kontraktor meminta lanjutan masa kerana ia hanya merugikan rakyat yang sepatutnya sudah dapat menikmati kemudahan berkenaan,” tegasnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *