Kerajaan Sabah Sedia Bantu Kerajaan Pusat Kurangkan Kos Bina Rumah

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek (tiga dari kiri) ketika mengadakan kunjungan hormat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedia membantu Kerajaan Pusat mengurangkan kos projek perumahan supaya rakyat yang belum memiliki rumah di negeri ini dapat membelinya pada harga lebih berpatutan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya yakin kos itu boleh dikurangkan, khususnya yang berkaitan dengan tanah jika kedua-dua pihak bekerjasama dalam usaha memenuhi keperluan perumahan rakyat di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri sedar ramai rakyat di negeri ini, khususnya golongan belia tidak mampu membeli rumah dibangunkan pihak swasta memandangkan harga pasarannya terlalu tinggi.

“Ini antara kebimbangan anak muda, khususnya yang datang dari luar bandar untuk bekerja di bandar. Mereka susah cari tempat tinggal… mahu beli rumah tetapi masalahnya kos terlalu tinggi.

“Jadi, kita akan lihat dan tangani masalah ini. Apa yang kerajaan negeri boleh lakukan ialah kita boleh ringankan beban ditanggung bagi melaksanakan projek perumahan, khususnya dari segi penyediaan tanah yang boleh bantu mengurangkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat pelaksanaan projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Sabah disampaikan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan jika Kerajaan Pusat menerusi kementerian berkenaan mahu mengembangkan Program Rumah Peduli Rakyat dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Melaka baru-baru ini.

“Kita mengalu-alukan apa saja kemudahan dibuat di Semenanjung dikembangkan ke Sabah supaya kita juga ada. Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha seperti,” katanya.

Menerusi Program Rumah Peduli Rakyat, golongan berpendapatan rendah ditawarkan rumah dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Katanya, kerajaan negeri dan kementerian turut membincangkan keperluan membina lebih banyak balai bomba di negeri ini terutama di kawasan yang sering berlaku kebakaran dan bencana yang membabitkan penempatan penduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *