Bunuh Pamandu Grab, Dua Lelaki Didakwa Di Mahkamah

Arsit Indanan (kiri) dan Amru Al Asy Japri (kanan) didakwa di mahkamah litar Tuaran membunuh pemandu Grab di Tuaran pada 25 Mei lalu.

Kes Pembunuhan Pamandu Grab, Dua Lelaki Didakwa Di Mahkamah

KOTA KINABALU: Seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab dua minggu lalu.

Arsit Indanan, 20, warga Filipina dan Amru Al Asy Japri, 24, warga tempatan, kedua-duanya pekerja kedai cuci kereta didakwa melakukan jenayah itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun di mahkamah litar Tuaran.

Arsit bersama Amru dituduh membunuh Mohammad Hanafiee Jaffar, 27 di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX antara jam 4 pagi dan 5 pagi pada 25 Mei lalu di tepi jalanraya Marabahai, Tuaran.

Keduanya menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diterima daripada Arsit dan Amru selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai bagi sebutan kes mereka di Tuaran.

Dalam pada itu kedua tertuduh turut diperintahkan terus ditahan reman disebabkan tiada peruntukan ikat jamin bagi dakwaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, peguambela Amru, Dominic Chew memohon kepada mahkamah supaya anakguamnya dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk menjalani pemerhatian mental.

Tujuan pemeriksaan tersebut ialah untuk memastikan samaada Amru layak diambil pengakuan.

Permohonan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah kerana menurut Chew, Amru pernah menjalani rawatan di hospital psikiatri itu.

Permohonan tersebut dibantah oleh pegawai pendakwa Inspektor Papilus Primus.

Jessica membuat keputusan bahawa mahkamah akan menimbangkan permohonan itu sekiranya Chew dapat menunjukkan bukti kad rujukan temujanji Amru dari hospital berkenaan.

Amru diwakili oleh Chew dan Aida Jaafar Mad Ariff sementara Arsit tidak diwakili peguam.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *