Tam, Badak Sumbu Sumatera Jantan Terakhir Malaysia Akan Dipamer Di Muzium Sabah

KOTA KINABALU, 9 Jun – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata replika Tam, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia, yang mati bulan lepas, akan dipamerkan di Muzium Sabah.

Beliau berkata replika saiz sebenar haiwan itu akan dibina menggunakan tulangnya dan sebaik sahaja siap, pelancong asing dan tempatan akan dapat melihat haiwan terkenal itu.

Liew memberitahu demikian kepada pemberita ketika ditemui di rumah terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan menteri kabinet negeri di sini hari ini.

Tetamu kehormat ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, satu mesyuarat akan diadakan dengan Muzium Sabah dan Jabatan Hidupan Liar Sabah tidak lama lagi untuk membincangkan perkara itu.

Badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia itu mati pada 27 Mei lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *