APMM Kawal Kesesakan Penumpang Feri Menumbok-Labuan

Anggota Maritim Malaysia membuat pemeriksaan terhadap penumpang dan barangan yang dibawa dalam Ops Khas Pagar Laut di Labuan. – Foto ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia kawal kesesakan penumpang feri Menumbok-Labuan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan meneruskan penguatkuasaan terhadap feri dan bot laju Menumbok-Labuan sempena perayaan Aidilfitri.

Ia bagi memastikan pengusaha feri dan bot sentiasa mematuhi had penumpang yang ditetapkan menerusi Ops Khas Pagar Laut itu.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Labuan, Kepten Che Adnan Md Isa, berkata operasi yang bermula sejak bulan lalu itu diteruskan bagi memastikan keselamatan penumpang yang pulang ke Labuan terjamin.

Selain itu katanya, operasi turut bertujuan memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan barangan kawalan serta jenayah rentas sempadan di perairan ini.

“Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 103 pemeriksaan sudah dilakukan terhadap feri kenderaan dan bot laju.

“Setakat ini, semua bot yang diperiksa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan semua penumpang juga mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah” katanya dalam kenyataan hari ini.

Che Adnan berkata, pihaknya memandang serius keselamatan perairan Labuan dan menyarankan orang ramai untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan yang berlaku.

Katanya, setiap maklumat berkenaan perairan Labuan boleh disalurkan menerusi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Labuan di talian 087-427999. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *