Dua Melecur Dalam Tragedi Kebakaran 23 Rumah Atas Air Di Sandakan

Penduduk membantu pihak bomba melakukan kerja-kerja memadam api kebakaran.

SANDAKAN: Dua wanita melecur kira-kira 10 peratus manakala seorang lagi mangsa mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Karamunting Baru di sini.

Dalam kejadian itu, 23 buah rumah kampung yang dibina atas air dengan keluasan dua ekar telah musnah sekaligus menyebabkan 33 keluarga hilang tempat berteduh.

Penempatan sementara mangsa kebakarang di perkampungan atas air di Karamunting, Sandakan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan, Anddre Andrew berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 2.05 petang melalui talian MERS999.

Katanya, seramai 18 pegawai dan anggota diketuai PKPgB Jimmy Lagung bergegas ke lokasi kejadian bersama dua buah jentera, sebuah tangker air dan jentera EMRS dan tiba pada jam 2.15 petang.

Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada memusnahkan beberapa buah rumah yang lain pada jam 3.37 petang dan kerja-kerja memadam bara api diteruskan.

Beliau berkata mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital oleh pasukan EMRS.

Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung yang segera turun padang ke lokasi kejadian menberitahu, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Am ketika ini sedang melakukan pendaftaran bagi semua mangsa yang terlibat.

Katanya, mangsa terlibat kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Karamunting dan ada yang menumpang di rumah keluarga.

“Pihak Kebajikan akan membuat pendaftaran mangsa dalam tempoh seminggu dan selepas itu kita akan mulai menyalurkan bantuan kepada mereka,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *