PDP Baharu Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Akan Diumumkan Tidak Lama Lagi

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang masih dalam pembinaan. – Foto ihsan LBU

KUCHING: Keputusan Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo yang baharu di Sarawak akan diumumkan Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

Menteri Kerjaraya, Baru Bian, berkata PDP bagi projek itu di Sabah sudah dimansuhkan dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada April lalu untuk memastikan kelancaran proses dan dan penjimatan kos.

Bagaimanapun, katanya, Kabinet masih belum membuat keputusan untuk melantik PDP bagi melaksanakan projek lebuh raya itu sepanjang 1,077 Kilometer di Sarawak.

“Kita tunggu pengumuman rasmi dari Kabinet yang dijangka dibuat tidak lama lagi,“ katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM16.48 bilion untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, dengan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai PDP.

Baru berkata, Kementerian Kerja Raya komited memastikan pembinaan jalan di kawasan pedalaman negeri ini di Miri, Lawas dan Limbang akan direalisasikan tidak lama lagi.

Katanya, jalan raya akan menghubungkan Long Lama di Baram dalam Bahagian Miri ke Long Pasia, Sipitang di Sabah menyediakan akses jalan dan meningkatkan ekonomi luar bandar.

“Ia juga akan memastikan penduduk luar bandar mempunyai akses mudah ke lebih banyak kemudahan seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau menjelaskan Jambatan Temburong di Brunei Darussalam dijangka siap tidak lama lagi, menghubungkan dua wilayah yang `terpisah’ oleh Limbang di Sarawak.

“Oleh sebab itu, mereka yang hendak ke kedua-dua wilayah di Brunei itu tidak lagi perlu melalui Limbang. Untuk mengelak perkara itu daripada berlaku, kita akan membina jalan keluar dari Medamit ke Ulu Limbang.

“Ini membolehkan Limbang terus berkembang dan tidak menjadi `bandar mati’ walaupun orang yang melancong di Brunei tidak lagi melalui bandar kecil itu, “ katanya.

Baru berkata, jalan raya juga akan dibina untuk menyediakan sambungan jalan yang lebih baik di Bario dan Ba’kelalan.

“Kita beritahu kementerian bahawa kita mesti berusaha keras untuk mewujudkannya. Ia amat penting sebagai sempadan terakhir di utara Sarawak yang tidak mempunyai infrastruktur jalan yang sempurna.

“Harapannya agar ia dapat direalisasikan tempoh lima tahun saya sebagai Menteri Kerjaraya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *