Bekas Tahanan Abu Sayyaf Mahu Kembali Bekerja Di Laut

Tayudin Dipeluk Isteri dan dua anaknya – Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Jun – “Saya tidak punyai pilihan selain melupakan peristiwa pahit itu dan bekerja di laut semula untuk mencari rezeki,” luah hati Tayudin Anjut, 48, seorang daripada bekas kru kapal tunda yang menjadi mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf pada 2016.

Bapa kepada sepasang cahaya mata yang berusia 7 dan 14 tahun itu kini hanya menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan di Taman Ria Tawau, Sabah bagi menampung perbelanjaan keluarga kecilnya. 

Menurutnya, kesempitan hidup yang dialaminya kini selepas menjadi tahanan membuatkan beliau nekad dengan keputusan kembali semula bekerja sebagai kru kapal tunda untuk meneruskan kehidupan.

“Saya akan berjumpa doktor berkenaan keadaan kesihatan saya dulu kerana sejak peristiwa itu saya sering kebas-kebas pada bahagian kaki. Selepas peristiwa culik itu memang saya tidak turun ke laut langsung. 

“Jika semuanya baik, insyaAllah akan turun bekerja di laut selepas raya ini kerana itu sahaja kemahiran yang saya ada,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 Tayudin dan empat rakannya iaitu Abdul Rahim Summas, Jumadil Rahim, Mohd Ridzuan Ismail dan Fandy Bakran adalah kru kapal tunda Serudong Tiga diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, pada 18 Julai 2016. 

Kesemua mereka diselamatkan selepas lapan bulan menjadi tahanan kumpulan pengganas itu.

Mengimbau peristiwa itu, Tayudin berkata dia dan rakan-rakannya dilayan seperti hamba abdi dengan dipaksa memasak untuk anggota kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa-sisa makanan, selain sering kali diugut untuk dipancung kepala.

Menurutnya, beliau bersyukur apabila terselamat daripada tahanan itu dan dapat kembali semula menjalani kehidupan seperti biasa bersama anggota keluarga dan rakan-rakannya. 

“Saya dan bekas mangsa culik lain masih berhubung baik dan kami sudah seperti keluarga. Saya tidak mahu peristiwa itu mengganggu kehidupan saya, selepas ini tumpuan adalah untuk menyara keluarga dengan baik,” ujarnya.

 — BERNAMA

386