‘Saudara kita menderita’ Di Kepulauan Mindanao

KUALA LUMPUR 29 MEI 2019. Action Caring Team (ACT) Malaysia menyampaikan bantuan untuk penduduk Muslim di Kepulauan Mindanao selatan Filipina setiap tahun. NSTP/EMAIL

‘Saudara kita menderita’

TUA muda datang dengan pakaian indah dan terbaik. Itulah pemandangan biasa dilihat Datu Mustafa Kamal Mohd Zaini ketika turun padang menyampaikan bantuan kepada saudara Muslim di Kepulauan Mindanao, Filipina sejak 2001.

Menurut Datu Mustafa Kamal, ketibaan hari berkenaan dinantikan mereka ibarat menyambut Aidilfitri.

Penerima bantuan ACT Malaysia di Kepulauan Mindanao, Filipina.

“Mereka datang dengan beca motor yang orang sana panggil ‘sikad’. Ini sistem pengangkutan yang paling efektif dan murah. Ada yang guna motosikal, tapi kebanyakannya menggunakan basikal seperti beca.

“Hari itu ibarat hari raya, jadi mereka berpakaian dengan pakaian terbaik.

“Ada juga yang kami temui memaklumkan mereka tiada langsung makanan untuk dimakan membuatkan saya tersentuh hati,” katanya.

Katanya, keperitan dan kedaifan dilalui golongan diibaratkan menjadi pelarian di negara sendiri itu, menjadi pemangkin semangatnya terus menyalurkan bakti kepada golongan itu setiap tahun.

Datu Mustafa Kamal berkata, semangat arwah bapanya yang gemar membantu kanak-kanak miskin di kampung mereka di Perak menjadi inspirasi kepadanya melakukan perkara sama.

“Pada mulanya saya hanya memberi apa yang termampu kepada golongan kurang bernasib baik di kampung saya saja.

“Namun pada 2001, selepas menyedari keadaan saudara kita di Mindanao, saya turun padang menyalurkan bantuan berskala kecil secara sendirian sebelum menjadikan amalan itu sebagai tradisi tahunan,” katanya.

Katanya, tujuh tahun kemudian dia menubuhkanpertubuhan bukan kerajaan (NGO) Action Caring Team (ACT) Malaysia bersama keluarga dan rakan terdekat dengan fokus mereka membantu golongan kurang bernasib baik di wilayah selatan Filipina itu.

“Setahu saya lebih 750,000 orang terjejas menjadi pelarian dalam negara sendiri rentetan peperangan antara tentera Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 1999.

“Mereka menerima bantuan negara Timur Tengah namun selepas peristiwa 11 September 2001, Amerika Syarikat mula menyekat semua kemasukan bantuan.

“Ramai saudara kita di sana menderita, itu sebab saya fokuskan misi kemanusiaan kami di sana apatah lagi mereka golongan terpinggir yang terlepas pandang mendapat bantuan pihak luar termasuk NGO lain,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun pelbagai program bantuan disalurkan bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi golongan itu yang kebanyakan mereka bergantung hidup dengan mata pencarian sebagai nelayan dan petani.

“Bantuan keperluan asas untuk penduduk kampung, juadah iftar dan iktikaf di masjid menjadi tradisi Ramadan sejak 2001. Malah, kami menaik taraf lapan masjid untuk keselesaan mereka beribadat.

“Selain itu, ACT membina lebih 500 pam air tangan dalam projek wakaf telaga biru untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat miskin.

“Sejak 2014, kami mengedar lampu solar pelbagai fungsi untuk 800 keluarga di kampung terpencil yang tidak mempunyai tenaga elektrik,” katanya.

Di samping memberi bantuan, katanya, mereka membantu dalam projek tanaman untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kebanyakan madrasah di luar bandar dan bersemak samun, jadi kami bantu mereka dari segi anak benih dan peralatan menanam sayuran dan pisang untuk diusahakan sebagai makanan dan menjana pendapatan.

“Pada masa sama, melalui kerjasama dengan institusi lain, ACT menghantar 11 pelajar miskin ke Jordan, Malaysia dan dua daripada mereka di kolej sekitar Mindanao.

“Kami juga bekerjasama dengan International Monitoring Team (IMT) yang dipimpin Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyalurkan bantuan,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ikhlas di akaun Maybank 562142713126 atas nama Action Caring Team (M) Berhad atau layari www.actmalaysia.org.my. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *