Remaja Wanita Tunggang Motosikal Maut Di Jalan Batu 24 Apas Balung

Gambar Hiasan

TAWAU: Seorang remaja wanita berusia 18 tahun dilaporkan maut selepas terbabit kemalangan jalan raya di Batu 24 Apas Balung di sini kira-kira jam 3.15 pagi Ahad.

 Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata mangsa, Sharynaz Sam @ Samsul, meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang parah.

 “Sharynaz menunggang motosikal semasa kejadian dan membawa seorang pembonceng, iaitu seorang pemuda berusia 24 tahun yang cedera parah patah kaki kiri,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata siasatan awal mendapati kemalangan terbabit terjadi akibat kecuaian penunggang yang gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas sendiri.

 Menurutnya, siasatan awal juga menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal terlibat dalam perjalanan membeli minyak sebelum terbabit kemalangan.

 “Mereka terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan tercampak ke longkang parit,” katanya, di sini, sambil mengesahkan motosikal itu milik pembonceng yang datang dari Semporna.

 Mengulas lanjut, beliau berkata penunggang motosikal meninggal dunia semasa dalam perjalanan dihantar ke Hospital Tawau namun siasatan polis masih lagi diteruskan.

“Siasatan kes dibuka mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dijalankan Pegawai Penyiasat Insp Norhafizah Hussin,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *