9 PTI Ditangkap Dalam Ops Bersepadu Di Sekitar Kota Kinabalu

ANTARA PTI yang diperiksa dan ditangkap pada operasi terbabit.
Antara PTI yang diperiksa dan ditangkap pada operasi terbabit.

KOTA KINABALU: Sembilan Pendatang Tanpa Izin (PTI) berjaya ditangkap pasukan polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di daerah ini pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 44 orang diperiksa dan sembilan daripada mereka adalah PTI.

“Daripada sembilan orang itu, dua didapati positif dadah. Operasi dijalankan selama lapan jam dari 10 pagi sehingga 6 petang Sabtu.

“Operasi membabitkan enam lokasi sekitar daerah ini, antaranya Jeti Pasar Besar, setinggan Iramanis, Luyang, setinggan Damai Sari/CKS Manggatal, setinggan belakang 1Borneo, setinggan Seri Warisan Inanam dan sekitar Bandaraya ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata tumpuan operasi adalah kawasan yang mempunyai kadar pertumbuhan PTI mengundang kepada kegiatan jenayah di sini.

Katanya, anggaran umur PTI yang ditangkap adalah dalam lingkungan 14 tahun sehingga 33 tahun, terdiri daripada enam lelaki dewasa, empat perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan.

“Tangkapan akan disiasat berdasarkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tangkapan kesalahan penagihan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dan orang ramai dialu-alukan bagi menyalurkan  sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui laman sosial facebook polis Kota Kinabalu. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *