Rakyat Perlu Pelihara Perpaduan Kaum – Ketua Menteri Sabah

OPENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengingatkan masyarakat di negeri ini supaya mengamalkan kesederhanaan dalam kehidupan agar penyatuan dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sabah dapat dipupuk.

Beliau berkata, walau adanya perbezaan dalam fahaman politik namun, jangan sampai wujud golongan ekstremis dan pelampau agama yang boleh menyebabkan perpaduan tidak dapat dicapai.

Dalam pada itu, beliau mahu entiti kebudayaan yang merupakan komponen penting kepada ikatan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu terus dijaga dan dipelihara agar ianya dapat menyumbang kepada usaha membangun dan memajukan Sabah.

Beliau berkata, seiring dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini, ‘Kaamatan Wadah Perpaduan Budaya Bangsa’, perayaan ini dilihat mampu menyatupadukan rakyat Sabah kerana ia boleh dijadikan landasan untuk memajukan Sabah.

”Sabah mempunyai resepi dan keupayaan untuk membangun. Kita boleh memajukan Sabah sama seperti Jepun dan Korea, namun kita perlu mempunyai minda yang tepat.

“Rakyat Sabah perlu bangkit kerana negeri ini mempunyai kekayaan sumber asli yang mencukupi untuk meletakkan Sabah sebagai negeri berasaskan perindustrian.

”Oleh itu, rakyat khususnya masyarakat Orang Asal perlu memanfaatkan kekayaan yang ada dengan sebaiknya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah 2019, di Hongkod Koisaan, KDCA, di sini pada Jumaat.

Mohd Shafie berkata, jika dilihat China mampu membangun dan maju dalam tempoh 40 tahun dengan sistem komunis yang diamalkan. Malah Wilayah Shenzen mampu membangun dengan kutipan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah trillion ringgit, walaupun mereka tidak mempunyai sumber asli seperti kayu balak dan minyak.

”Mereka mampu maju kerana mempunyai minda yang tepat, mereka bersatu untuk masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu adalah isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick, Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon, Menteri Belia & Sukan Ginger Phoong serta barisan menteri dan pembantu menteri yang lain. – BorneoToday

559