KERAJAAN berharap dapat bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia bagi melaksanakan program pembiakan yang dicadangkan dalam usaha menyelamatkan badak sumbu Sumatera di Sabah.
Susulan kematian Tam semalam, Iman badak sumbu Sumatera betina adalah satu-satunya badak terakhir di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, Iman mempunyai masalah ketumbuhan dalam rahim.
“Iman berusia 25 tahun tetapi malangnya ada ketumbuhan dalam rahim yang agak besar ketika ditangkap pada 2014. “Walaupun ada tumor dalam rahimnya, Iman masih menghasilkan telur yang dapat dituai.
“Pakar dari Institut Penyelidikan Zoo dan Hidupan Liar Leibniz di Jerman akan membantu dalam penuaian telur. Telur itu boleh disenyawakan di makmal secara in vitro dengan sperma daripada badak jantan (Indonesia). “Embrio yang dihasilkan daripada proses ini kemudiannya ditanam kepada badak sumbu betina Indonesia,” katanya menerusi kenyataannya hari ini.
Tengah hari semalam, Tam badak sumbu Sumatera jantan terakhir di negara ini berusia 35 tahun mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
Dalam pada itu sebelum ini, Christina dilaporkan berkata, lawatan ke Indonesia akan dilakukan selewat-lewatnya Julai ini bagi membincangkan serta bekerjasama dalam usaha menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang ada di Sabah.
Sejak 2011, pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatera daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini termasuk secara ‘in vitro’ dan kerjasama dengan Indonesia.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama dalam usaha menyelamatkan badak sumbu Sumatera di negara ini, Christina berkata, keturunan badak sumbu itu akan dikongsi bersama Indonesia dan akan tetap berada di Sanktuari Way Kambas Rhino, Lampung di Sumatera.
“Bagaimanapun, ini hanya boleh berlaku jika Kerajaan Indonesia bersetuju secara rasmi,” katanya.
Tam yang ditangkap di ladang kelapa sawit Kretam di Lahad Datu pada Ogos 2008, hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.
Usaha untuk mencari pasangan kepada Tam tidak berjaya apabila Puntung yang ditangkap pada 2011 didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim dan Iman yang ditangkap pada 2014 pula didapati berdepan masalah sama.
Puntung kemudian dimatikan pada 2017 kerana kanser dan kesakitan yang dialami, meninggalkan hanya Iman satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup. – Harian Metro