ESSCOM dan polis rampas 47,633 bungkus rokok, tahan seorang lelaki tempatan di Tawau

Rokok seludup ditemui dalam bengkel tersebut

TAWAU, 28 Mei – Sebanyak 47,633 bungkus rokok dianggarkan bernilai RM735,342.80 ditemui pasukan keselamatan dalam satu serbuan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Batu 5, Jalan Apas di sini, pada Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Nor Azizulkifli Mansor berkata susulan penemuan rokok berkenaan oleh sepasukan  anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan polis Tawau itu, seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan di Jalan Haji Salleh di sini pada Rabu, pukul 1 petang.

Antara rokok seludup yang dirampas- Foto IPD Tawau

“Suspek disyaki terlibat barangan kes (rokok) ditahan reman bermula 23 Mei sehingga 26 Mei, sebelum reman kedua bermula pada 27 Mei sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Nor Azizulkifli, dalam Operasi Khas ESSCom pukul 9.30 malam pada Selalu lepas itu menemukan pelbagai jenis rokok yang tidak mempunyai kelulusan kastam disembunyikan.

Rokok ditemui adalah Astro Menthol, Tradition, Minna International, A Satu Mild, Menara Dunia, Menara International, Extreme Mile Menthol, LA Menthol, Apache, Tex Lights, Astro Black Menthol, A Satu Menthol, Absolute Menthol, Arena Menthol, Gudang Garam, Premium International, Astro Black Gold dan Astro Merah.

Dalam pada itu, katanya tiga lori serta dua kenderaan jenis pacuan empat roda yang disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan rokok belum lulus kastam turut dirampas.

Antara rokok seludup yang dirampas- Foto IPD Tawau

Sementara itu, Nor Azizulkifli berkata rampasan rokok itu merupakan tangkapan terbesar pihaknya bagi tempoh lima bulan tahun ini.

Beliau dalam pada itu, tidak menolak kemungkinan tangkapan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan rampasan-rampasan rokok seludup sebelum ini yang ditemui dilonggokkan di lokasi tertentu.

“Saya percaya mungkin selepas ini, ada tangkapan lain lagi, kita sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya lagi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *