Isu Kebersihan Pasar Ikan Lahad Datu Akan Diselesaikan

Jaujan meninjau keadaan di pasar Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan KKTP

LAHAD DATU: Masalah kebersihan pasar ikan di sini akan ditangani oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bersama dengan pihak berkuasa tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan ketika turun padang mengunjungi pasar ikan itu cukup sedih melihat keadaan kebersihan yang tidak diselenggara baik berikutan aduan yang diterima oleh orang awam.


JAUJAN (dua, kanan) ketika ditemui pemberita semasa mengadakan tinjauan di pasar Ikan Lahad Datu di sini pada Ahad. Turut kelihatan Maznah (kiri).

“Kita akan bincang dengan PBT tentang masalah yang timbul di sini (Pasar Ikan). Saya nampak memang tidak bersih kerana penyelenggaraan yang tiada, walaupun bangunan pasar ini masih dalam keadaan baik.

“Jadi kita harap PBT mengambil perhatian isu kebersihan kerana pasar ini sangat penting bagi kehidupan harian kita,”  katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan di Pasar Ikan, Ayam dan Rakyat Lahad Datu, di sini pada Ahad.

Selain itu, Jaujan berkata, isu pendawaian elektrik dan bekalan air yang disuarakan oleh peniaga di pasar ikan berkenaan turut akan dibangkitkan semasa perbincangan yang diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, isu yang berhubung kait dengan keselamatan dan kesihatan itu perlu ditangani segera bagi memberi keselesaan peniaga dan pengunjung yang datang.

“Inilah hasrat KKTP yang mahu memastikan keadaan pasar sentiasa dalam keadaan baik, bersih dan selamat bagi memastikan pendapatan peniaga pasar meningkat.

“Jika persekitaran bersih, kita juga dapat menarik orang ramai datang ke pasar ini yang sememangnya berpotensi besar untuk dimajukan ekoran pelbagai pilihan ikan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Selain mengunjungi pasar Rakyat, Ikan dan Ayam di Lahad Datu, Jaujan bersama Setiausaha Tetap KKTP Maznah Mat Salleh turut mengunjungi salah satu bazar yang dibuka di pekan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *