Ugut guna pedang samurai, kayu golf

SEKADAR GAMBAR HIASAN

BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki didakwa mengugut dengan menggunakan pedang samurai dan kayu golf di Kampung Batu 3, Kuala Penyu, dekat sini, kelmarin.

Tangkapan itu susulan laporan polis dibuat seorang lelaki berusia 22 tahun selepas menerima panggilan daripada sepupunya yang mendakwa suspek datang ke rumah dengan membawa kayu golf dan pedang samurai kira-kira jam 1 tengah hari Rabu lalu

Suspek berusia 34 tahun didakwa berkata kepada sepupu terbabit bahawa dia akan menunjukkan jalan ‘ke syurga’ kepada pengadu yang tidak berada di rumah ketika kejadian.

Susulan itu, satu laporan dibuat pada jam 5.20 petang hari sama sebelum polis berjaya menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, ketika dihubungi mengesahkan penerimaan laporan itu dan hasil siasatan awal mendapati kejadian dikatakan berlaku di hadapan rumah pengadu.

“Suspek didakwa datang ke rumah pengadu dengan membawa kayu golf dan pedang samurai untuk mencari pengadu. Suspek juga didakwa mengugut dengan kata-kata ‘akan menunjukkan jalan ke syurga kepada pengadu’.

“Kejadian itu disaksikan sepupu pengadu yang juga pemilik rumah berkenaan. Ketika kejadian, pengadu tiada di rumah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1)(e) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – Berita Harian

359