Lelaki hilang sejak Jumaat ditemui mati

Pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat seorang warga emas yang ditemui di tebing sungai di Kampung Tolongan, Pamol di Beluran. – Foto ihsan Bomba

BELURAN: Misteri kehilangan seorang lelaki berusia lingkungan 80-an sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di tebing sungai di Kampung Tolongan, Pamol, dekat sini, hari ini.

Mayat lelaki dikenali sebagai Gabertan, ditemui penduduk kampung tiga kilometer dari rumahnya, kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi, berkata mangsa terdahulu dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 petang, sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui pada hari pertama, manakala operasi pada hari kedua pula ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hari ini pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung yang memaklumkan mangsa ditemui di sungai tidak jauh dari rumahnya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung berhampiran tebing sungai yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *