Tambadau Berjaya Curi Satu Mata Berharga Di Pulau Pinang

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah berjaya mencuri satu mata berharga dari Pulau Pinang dalam aksi Liga Premier di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam tadi.

Walaupun begitu, keputusan seri 0-0 itu ternyata agak “mahal” bagi skuad Tambadau Sabah dengan lima pemainnya mendapat kad kuning.

Dua kad kuning turut dilayangkan kepada pemain Pulau Pinang oleh Pengadil perlawanan Mohd Zefri Zulkifli.

Pada awal permainan Tambadau Sabah dapat mengawal dan mengatur serangan melalui sayap kanan, Alto Linus, penyerang Rodoljub Paunovic, Aguinaldo Mendes dan pemain tengah Ahmet Atayev.

Atayev mendapat peluang pada minit ke-17 apabila berjaya memintas bola yang cuba dikeluarkan oleh pertahanan Pulau Pinang di luar kotak penalti namun cubaannya melambung tinggi di atas palang gol.

Pertahanan Sabah terpaksa berhempas pulas mengekang pasukan Pulau Pinang yang mempunyai dua pemain import baharu, Ezekuel Aguero dan Casagrande.

Dibantu oleh ketua pasukan Kang Seung Jo dan Julian Battaro di bahagian tengah mereka benar-benar menguji pertahanan Tambadau yang diketuai Rawilson Batuil, Park Taesu, Randy Baruh dan Evan Wensley.

Pada minit 28, Aguero berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Sabah dengan satu overhead kick tetapi gol tidak dibenarkan kerana dia telah menolak seorang pemain Sabah dalam kotak penalti semasa pergelutan bola di udara.

Dalam tempoh 30 minit separuh masa pertama, lima kad kuning dikeluarkan iaitu tiga untuk Sabah – Park Taesu, Randy Baruh dan Mohd Azizan Nordin manakala dua untuk Pulau Pinang –  Aguero dan Mohd Azrul Ahmad.

Di separuh masa kedua, Pulau Pinang berjaya mengawal permainan memaksa skuad Tambadau untuk bertahan.

Satu-satunya peluang Sabah pada babak kedua datang minit ke-51 melalui Jenius Karib yang mendapat umpanan dari sebelah kanan namun seperti Atayev pada babak pertama tendangannya melambung tinggi.

Sabah mendapat kad kuning keempat pada minit ke-68 apabila Atayev cuba menghalang Bottaro daripada melepasinya dengan menarik baju.

Lima minit sebelum tamat masa perlawanan sebenar, Pulau Pinang hampir mendapat gol pertama melalui tandukan pemain tinggi lampai, Casagrande tetapi sipi melepasi sasaran disebelah kanan gawang Sabah.

Pada minit ke-90, penjaga gawang Sabah, Rozaimie Rohim bertindak cemerlang menyelamatkan tendangan percuma berbahaya Bottaro dari luar kotak penalti yang sedang menuju ke penjuru atas sebelah kanan gol.

Minit terakhir masa kecederaan menyaksikan pemain gantian, Mazlan Yahya dilayangkan kad kuning kelima Sabah.

Tendangan percuma daripada kekasaran itu memberi peluang akhir kepada pemain hadapan Pulau Pinang dan set piece mereka berjaya menewaskan Rozaimie.

Mujur pemain pertahanan Sabah, Evan Wensley berada di belakang dan menyelamatkan bola di atas garisan gol sebelum pengadil meniup wisel penamat perlawanan.

Para pemain Pulau Pinang mengepung penjaga garisan menyatakan bola telah melepasi garisan, walaupun demikian pengadil tidak berganjak dengan keputusanya dan kedudukan berakhir dengan 0-0.

Dengan keputusan itu, skuad Tambadau Sabah berada ditangga ketiga liga dengan 25 mata dari 13 perlawanan.

Manakala UiTM FC dan JDT II, masing-masing berada ditangga teratas dan kedua dengan jumlah mata yang sama, 26 daripada 14 perlawanan.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *