Lelaki Maut Ditikam Isterinya Ketika Tidur

Suspek yang bersembunyi di dalam bilik sewa terbabit berjaya ditahan polis. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai ditikam oleh isterinya di bahagian perut, di sebuah bilik sewa atas kedai, Bandar Cenderawasih Sahabat 7, dekat sini semalam.

Mangsa Rasalan Jaya, 32, ditikam menggunakan pisau pemotong sayur ketika sedang tidur di bilik, kira-kira pukul 7 pagi, Jumaat lalu. 

Pisau yang digunakan suspek untuk menikam perut suaminya ketika sedang tidur. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ekoran kejadian itu, sepasukan polis yang menerima aduan kemudian bertindak menyerbu bilik terbabit dan menahan suspek berusia 26 tahun yang sedang bersembunyi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata hasil siasatan terhadap suspek mendapati kejadian berlaku akibat mangsa sering mendera dan memukul suspek.

“Selain didera, mangsa juga bersikap curang (mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain) dan perbuatan itu diketahui suspek sejak awal tahun 2014 namun suspek hanya membiarkan mangsa (suaminya) berkelakuan sedemikian kerana bimbang rumahtangga mereka retak. 

“Mangsa turut dikatakan tidak pernah memberi nafkah kepada suspek dan anak-anak mereka,”katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nasri berkata, akibat gagal mengawal emosi dan perasaan marah, suspek merancang niat jahat dan bertindak menikam mangsa dengan menggunakan pisau ketika mangsa sedang tidur di atas katil di dalam bilik. 

“Mangsa cuba mencabut pisau yang tertusuk pada perutnya lalu meletakkan pisau itu di atas katil sebelum suspek mengambil pisau berkenaan lalu dibuang ke luar tingkap. 

“Mangsa kemudian berlari keluar daripada bilik terbabit dan terus menuju ke sebuah klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebelum dibawa ke Hospital Lahad Datu. 

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, pukul 5.05 pagi, semalam,”katanya.

Beliau berkata, suspek yang bersembunyi di dalam bilik berjaya ditahan polis dan dibawa ke Balai Polis Cenderawasih untuk tujuan siasatan lanjut. 

“Pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa turut dirampas. 

“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *