Lelaki cedera ditikam di kepala dan badan dalam pergaduhan di Kunak


MANGSA cedera akibat ditikam dengan pisau pemotong sayur. FOTO ihsan polis

Tak ucap terima kasih punya pasal

LELAKI cedera ditikam di kepala dan badan dalam pergaduhan di hadapan perumahan pekerja TSH Plantation Mill, Kunak Mill, Tawau, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Mohd Ruzaini Mohd Nawi, 30, luka di belakang kepala dan belakang badan akibat ditikam menggunakan pisau pemotong sayur oleh suspek berumur 29 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dan isteri suspek.

Beliau berkata, ini kerana isteri suspek dikatakan sering meminjam barangan peribadi isteri mangsa tetapi tidak pernah mengucapkan terima kasih atas pertolongan berkenaan.

“Siasatan polis mendapati, ketika mangsa sedang berbual dengan isterinya, suspek datang dan menumbuk mangsa bertubi-tubi, kira-kira 10 malam..

“Mangsa cuba mempertahankan diri dengan membalas tumbukan itu beberapa kali sebelum suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau pemotong sayur dan terus menikam mangsa beberapa kali pada bahagian belakang badan dan belakang kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nor Azizul berkata, selepas kejadian itu suspek pulang ke rumah lalu mengajak isterinya pergi ke rumah kakak kandungnya yang terletak lebih kurang 150 meter dari rumah mereka kerana bimbang mangsa membalas dendam.

Katanya, suspek yang juga seorang buruh ladang bagaimanapun berjaya ditangkap pada jam 12.35 tengah malam selepas ibu saudara mangsa membuat laporan polis.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur sepanjang kira-kira 22.8 sentimeter yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana mendatang kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *