5 lokasi panas dadah di sekitar Kota Kinabalu digempur

Foto Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sebanyak lima lokasi panas di sekitar bandar raya ini yang dikenalpasti menjadi sarang penagihan dan pengedaran dadah digempur dalam siri operasi sepanjang minggu lalu.

Keseluruhannya, operasi yang dilancarkan pada 18 Mei lalu itu menyaksikan seramai 111 individu berusia antara 14 hingga 64 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan pemilikan, pengedaran serta penyalahgunaan dadah.

Gambar Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata operasi khas itu dilakukan di Kampung Cenderamata 2, Kampung Air, Lorong Keleto, Pekan Inanam dan Kampung Tanjung Aru, bertindak atas maklumat risikan serta aduan awam.

“Sejumlah 9.25 gram dadah jenis syabu bernilai RM1,387.50 mengikut pasaran semasa turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut kesalahan masing-masing di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Gambar Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

Habibi berkata, operasi itu sebahagian daripada inisiatif Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam usaha mengekang masalah dadah dan jenayah di kawasan berkenaan.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan dipertingkat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga turut dialu-alukan memberi maklumat berkaitan kegiatan jenayah narkotik dalam usaha membanteras jenayah ini daripada terus berleluasa,” katanya. – Berita Harian

Gambar Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu
Gambar Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *