Kelab Rotary lancar buku “Beautiful People of Sabah”

KOTA KINABALU, 25 Mei – Kelab Rotary di sini hari ini melancarkan buku bertajuk “Beautiful People of Sabah” khusus dalam usaha membina kesedaran mengenai pentingnya menjadikan Sabah lebih bersih dan ‘hijau’.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata buku itu merupakan sebahagian daripada program kemasyarakatan Kelab Rotary dalam membantu kerajaan negeri memelihara alam sekitar di Sabah supaya sentiasa bersih.

Katanya tiga buku seumpama itu yang pernah diterbitkan oleh Kelab Rotary sebelum ini ialah “The Beautiful River of Sabah” pada tahun 2005, diikuti buku kedua “The Beautiful Beaches of Sabah” pada tahun 2007, dan “The Beautiful Mountain of Sabah” pada tahun 2010.

“Sehubungan itu saya juga ingin menggalakkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memupuk kebersihan, bukan sahaja di Kota Kinabalu, tapi di seluruh Sabah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis pelancaran buku itu di  Perpustakaan negeri Sabah di sini.

Beliau yang juga juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata selain itu Kelab Rotary ini juga pernah menganjurkan program-program taklimat mengenai kebersihan sungai, pantai dan laut kepada lebih 15,000 pelajar di Sabah.

Buku “Beautiful People of Sabah” setebal 108 muka surat berharga RM50 yang mengandungi gambar-gambar pelbagai etnik di Sabah mula dijual hari ini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *