SESB kesan 22 premis curi, usik meter elektrik di Tawau

TAWAU, 22 Mei – Sebanyak 22 premis di Tawau bakal berhadapan pendakwaan selepas dipercayai mencuri elektrik dengan mengusik meter elektrik di premis masing-masing.

Pemangku Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata tindakan ‘curang’ premis berkenaan dikesan dalam serbuan Ops Meter oleh pihaknya di sekitar daerah ini bermula pada 14 Mei hingga 20 Mei lepas.

“Kita (SESB) buktikan kes ini memang ada, bukti-bukti semua ada dan kita dalam proses pendakwaan, selain kita akan lakukan tuntutan kerugian hasil dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya dalam satu sidang akhbar berkaitan Ops Meter di sini.

 Abdul Nasser berkata 22 premis yang dikesan melakukan kesalahan itu merupakan daripada 208 premis iaitu pengguna komersial yang diperiksa sepanjang tujuh hari operasi tersebut dilaksanakan.

“Kita ada tatacara semakan kita untuk kenalpasti kesalahan antaranya analisa akaun mencurigakan dari segi penggunaan dan laporan kejanggalan.

“Melalui risikan pasukan Strike Force SESB, kita mengenal pasti premis yang melakukan pengusikan meter dan berdasarkan maklumat itu, kita buat operasi,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 474 premis di Sabah diperiksa dan daripada jumlah berkenaan 200 premis dikesan mengusik meter elektrik dengan kerugian anggaran RM630,000.

Pada masa sama, Abdul Nasser berkata pihaknya merekodkan kerugian hasil terkumpul RM4.5 juta akibat pengusikan meter elektrik di seluruh Sabah bagi tahun 2017 sehingga semalam.

“Masalah ini serius, dan perlu ditangani, kerana kerugian hasil pada SESB sekali gus menjejaskan kecekapan SESB menyalurkan perkhidmatan kepada pengguna,” katanya.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *