MAS, AirAsia tambah penerbangan ke Sandakan

SANDAKAN: Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia menambah jumlah penerbangan bagi laluan Sandakan – Kuala Lumpur – Sandakan bagi menampung keperluan penumpang yang dijangka meningkat menjelang sambutan Aidilfitri.

Bagi AirAsia, penerbangan tambahan itu bermula 31 Mei hingga 11 Jun ini membabitkan penerbangan AK9324 dan AK9323 dari Sandakan ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Sandakan.

Ini menjadikan keseluruhannya lima penerbangan sehari disediakan sepanjang tempoh kemuncak itu b berbanding hanya tiga penerbangan sehari ketika ini.

MAS pula menyediakan penerbangan tambahan bermula 9 Jun ini membabitkan penerbangan MH7429 dari Sandakan ke Kuala Lumpur.

Selain penerbangan tambahan ketika Aidilfitri, tambahan turut dibuat pada hari biasa membabitkan penerbangan MH2668 dari Sandakan ke Kuala Lumpur yang dibuat tiga kali seminggu pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

Pengurus Lapangan Terbang Sandakan, Suhaimi Abdul Sani, berkata jumlah penerbangan tambahan sedia ada itu mencukupi untuk menampung keperluan pengguna biarpun aliran trafik semasa meningkat dan sasaran bagi mencapai satu juta penumpang pada November ini.

“Dari segi penumpang, jika ikutkan pertambahan setiap tahun seperti tidak cukup, tetapi berdasarkan analisis dijalankan syarikat penerbangan, pertambahan jumlah penerbangan sedia ada mencukupi.

“Tahun ini akan menjadi asas untuk kita lihat sama ada jumlah penerbangan mencukupi atau tidak. Berikutan jangkaan jumlah penumpang yang meningkat pada musim perayaan ini, kita berharap penumpang datang lebih awal ke lapangan terbang bagi barisan panjang untuk mendaftar masuk,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Suhaimi berkata, beberapa kemudahan di terminal itu turut dinaik taraf termasuk menerusi penyediaan tempat rehat yang dilengkapi dengan kemudahan mengecas telefon bimbit sementara menunggu ketibaan atau pelepasan pesawat.

Selain itu, katanya, kemudahan bilik penyusuan bayi turut disediakan di balai pelepasan yang mampu memuatkan dua pengguna pada satu masa.

“Sistem mesin daftar masuk bagasi automatik turut disediakan AirAsia bagi mengelak penumpang berbaris panjang dan boleh mendaftar masuk sendiri tanpa perlu menunggu bantuan kakitangan,” katanya – Berita Harian

910