Pesta Kaamatan tidak sepatutnya dipolitikkan: Peter

Peter (tengah) beramah mesra dengan penumpang kereta api di Sembulan sambil mengagihkan juadah berbuka puasa. Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Perayaan Pesta Kaamatan adalah kebudayaan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) dan dan tidak sepatutnya melibatkan politik.

Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri 2019, Datuk Peter Anthony berkata perayaan kebudayaan harus dipertahankan berteraskan budaya.

“Pesta Kaamatan ini kita lihat semakin hampir kemuncaknya yang mana hampir semua daerah selesai menjalankan perayaan tersebut.

“Tetapi di kawasan Bingkor ini ada sedikit kekeliruan dan itu adalah masalah masalah teknikal. Dan saya percaya dengan sikap keterbukaan kita di kerajaan baharu yang bersifat inklusif ini, saya rasa tidak ada masalah bagi kita.

“Lagipun ini adalah kebudayaan yang harus kita pertahankan bukannya sesuatu kedudukan yang melibatkan politik dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media selepas mengedarkan juadah sungkai kepada penumpang-penumpang kereta api, di Stesen Kereta Api Sembulan, hari ini.

Ketika ditanya berkenaan status Pesta Kaamatan Bingkor yang dikatakan tidak diiktiraf baru-baru ini, Peter berkata Kaamatan adalah kelangsungan budaya masyarakat KDM dan isu berkenaan Pesta Kaamatan Bingkor yang dikatakan tidak diiktiraf itu adalah masalah kecil dan telah diselesaikan.

Katanya kerajaan negeri turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam penganjuran Pesta Kaamatan itu.

Terdahulu, SabahNewsToday turut melaporkan berkenaan kontroversi status Unduk Ngadau Bingkor Cora Wybin yang telah diselesaikan dengan cara positif.

Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelaras Induk (MICC) Kaamatan Negeri, Datuk Daniel Kinsik turut mengesahkan bahawa Cora kekal sebagai wakil Dun Bingkor ke pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri nanti.

Daniel berkata beliau ada menghubungi Peter untuk menyelesaikan masalah berkenaan pagi Selasa.

Tambahnya isu terbabit sudah diselesaikan oleh Peter sendiri dan Cora adalah Unduk Ngadau Bingkor yang sah. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *