Jangan cemar industri pelancongan Sabah: Christina

KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengambil tindakan dan penyelesaian konkrit berhubung dakwaan beberapa pelancong mengenai tingkah laku kurang senonoh yang dilakukan oleh penyelam (dive master) terhadap mereka sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata sudah tiba masanya tindakan itu dilakukan demi menjaga nama baik industri pelancongan di negeri itu.

Christina (duduk dua dari kanan) bersama para wartawan dan pegawai kanan kementerian beliau pada majlis berbuka puasa di Magellan Sutera kelmarin.

“Sekarang adalah masanya untuk kita mengambil tindakan, saya tidak boleh membenarkan perkara ini berulang sehingga memburukkan industri pelancongan kita nanti.

“Sebaik sahaja kita dapat mengenal pasti identiti mereka (pelaku), kita akan berhubung dengan syarikat mereka dan mungkin lesen menyelam mereka boleh dibatalkan jika didapati dakwaan gangguan seksual terhadap pelancong itu benar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Berbuka Puasa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Bersama Jabatan dan Agensi di bawah kementerian tersebut di Magellan Sutera Kota Kinabalu.

Terdahulu beliau ditanya apakah langkah kementeriannya dalam menangani isu segelintir dive master yang  didakwa melakukan gangguan seksual terhadap pelancong wanita dan terbaharu tindakan mengangkat terumbu karang dari dasar laut.

“Saya terkejut apabila diberitahu bahawa sebanyak 80 kes gangguan seksual didakwa berlaku tetapi dilaporkan hanya lapan kes.

“Tiada siapa yang boleh mengesahkan angka ini, tetapi saya menggalakkan orang ramai yang telah mengalaminya supaya tampil dan membuat laporan polis,” jelasnya.

Mengenai isu Tam, iaitu badak sumbu Sumatera jantan yang dalam keadaan tidak sihat, Christina berkata pihaknya akan mengadakan lawatan ke Indonesia pada Jun atau Julai ini bagi mendapatkan bantuan pihak hidupan liar negara itu.

“Diharapkan kita boleh mencapai persetujuan dengan pihak hidupan liar Indonesia kerana ini adalah dua badak sumbu Borneo terakhir yang kita ada.

“Perkara ini saya telah sebutkan semasa Dewan Undangan Negeri yang lalu bahawa keadaan Tam semakin teruk. Kita memang memantau perkembangan Tam dan saya sendiri mendapat laporan setiap hari daripada pengarah hidupan liar negeri,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *