SEMPORNA, 21 Mei – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini meluangkan masa sehari melawat pos-pos keselamatan di beberapa pulau di sini yang bertanggungjawab menjaga keselamatan khususnya di pantai timur Sabah.
Baginda bersama delegasi kerajaan Perlis yang dalam Eksesias Perlis-Sabah (EX Perbah 2019) sempat melawat Pulau Manampilik, Pulau Siamil dan Pulau Omadal dan menyampaikan sumbangan kepada anggota keselamatan yang menjalankan operasi di situ.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Bukit Keteri, Padang Besar, Perlis yakin pasukan keselamatan yang bertugas di pulau-pulau itu mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan penuh dedikasi.
“Sentiasalah berwaspada kerana musuh hadir dalam pelbagai bentuk dan cara. Beta bagaimanapun yakin tuan-tuan lebih memahami situasi dan bentuk ancaman dan tahu tindakan yang perlu diambil untuk mengatasinya,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin juga meluangkan masa hampir dua jam bersama penduduk Kampung Bum-Bum dan menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kesukarelawan di Masjid Faizuddin Jamalullail.
Di masjid itu baginda menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada ahli jawatankuasa pengurusan masjid, Mohd Kahil Abdul Kahir untuk aktiviti masjid.
— BERNAMA