Pengedar dadah ditahan di Telipok Ria

HAMIZI (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan syabu semasa sidang media di IPD Tuaran.

TUARAN: Polis menahan seorang pengedar dadah yang dikehendaki di Telipok Ria bersama setengah kilogram syabu bernilai lebih RM25 ribu dalam satu serbuan pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata suspek berumur 32 tahun dikenal pasti sebagai warganegara Filipina berikutan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

HAMIZI (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan syabu semasa sidang media di IPD Tuaran.

“Semasa ditahan di kawasan awam berdekatan perumahan terbabit, suspek didapati membawa sebuah beg yang mengandungi dua plastik berisi 10 bungkusan kecil di dalamnya.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi hablur putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 505.66 gram yang dianggarkan bernilai RM25,283 pada harga pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya maklumat risikan mendedahkan bekalan dadah terbabit diperolehi dari kawasan Kota Kinabalu sebelum diedarkan di kawasan Tuaran, manakala Telipok Ria dijadikan sebagai lokasi pengedaran dadah di daerah ini.

Tambahnya suspek yang juga positif syabu itu dipercayai sudah bergiat aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan sebelum ini di sini.

“Suspek sedang direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *