Phoong angkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Negeri Sabah sedang berlangsung.

KOTA KINABALU, 21 Mei – Anggota Dewan Undangan Negeri Luyang,  Phoong Jin Zhe, mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia Dan Sukan dalam Majlis Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Negeri Sabah di Istana Negeri di sini, hari ini.

Phoong, 30, mengangkat sumpah dihadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin sementara upacara menandatangani watikah pelantikan beliau disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Kabinet Negeri Sabah sedang berlangsung.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu,  Phoong berkata sebagai menteri baharu beliau akan melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada anak-anak muda dan meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada.

“Sebarang cadangan, pandangan dan komen daripada anak-anak muda amat saya alu-alukan dalam meningkatkan perkhidmatan, aktiviti-aktiviti dan idea baharu yang lebih efektif. 

“Terima kasih juga saya ucapkan atas kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan DAP untuk menyandang jawatan ini,” kata Phoong.

— BERNAMA

840