PRK Sandakan rekod 19 kesalahan pilihan raya

Beverly (kanan) dan Penyelaras BERSIH 2.0 Sabah, Asraf Sharafi menunjukkan Laporan Pemerhatian PRK Sandakan pada sidang media di Kota Kinabalu. 

KOTA KINABALU: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merekodkan 19 kesalahan pilihan raya dan salah laku sepanjang berlangsungnya proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang berakhir pada 11 Mei lalu.

Naib Pengerusinya, Beverly Joeman, berkata kebanyakan kesalahan membabitkan proses berkempen pada hari pengundian sebanyak lapan kes, diikuti salahguna aset kerajaan dan penyebaran perasaan jahat dan permusuhan, masing-masing merekodkan dua kes.

Katanya, pemantau BERSIH 2.0 turut mengesan satu kes kesalahan pengaruh tidak wajar kerajaan, manakala baki empat kesalahan lagi membabitkan beberapa kesalahan dan salah laku lain.

“Dalam PRK kali ini, kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh pihak yang bertanding menurun berbanding PRK Rantau dan Cameron Highlands. Sebagai contoh hanya dua kesalahan penjamuan bagi PRK Sandakan berbanding empat kes di Cameron Highland dan tujuh kes di Rantau.

“Kesalahan penjamuan ini dilakukan secara langsung oleh DAP sebelum penamaan calon pada 25 April lalu dan oleh pihak ketiga iaitu Ahli Jawatankuasa Surau Al-Furqan pada 3 Mei lalu yang melaksanakan program ‘Kenduri Sekampung Bersama Ketua Menteri’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan Pemerhatian PRK Parlimen Sandakan yang turut dihadiri Penyelaras BERSIH 2.0 Sabah, Asraf Sharafi, di sini hari ini.

Beverly berkata, salah guna jentera kerajaan dan pengaruh tidak wajar oleh kerajaan masih lagi berlaku seperti kes membabitkan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Jo-Anna Rampas yang menggunakan bot polis berkempen di Pulau Berhala pada 9 Mei lalu.

Katanya, satu lagi kes membabitkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang menerima memorandum daripada Persatuan Peniaga Cina Tawau ketika dialog anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dihadiri calon DAP, Vivian Wong Shir Yee pada 30 April lalu.

“Kesalahan paling banyak dilakukan adalah pada hari pengundian. Pemerhati kami banyak merekodkan kesalahan parti politik merayu undi dan ada pihak yang mengangkut pengundi, terutama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung Papat dan SK Sungai Anib 1.

“Kami juga mendapati sembilan kenderaan digunakan mengambil dan menurunkan pengundi dengan lapan dikesan membawa bendera Parti Bersatu Sabah (PBS) dan DAP, manakala sebuah lagi tidak dikenal pasti pihak mana,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, BERSIH 2.0 menggesa Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya (PPKPR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih tegas menghalang kegiatan kempen merayu undi dan mengangkut pengundi ketika hari pengundian kerana ia salah mengikut Seksyen 20(3) dan (4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, katanya, BERSIH mengalu-alukan pembaharuan dilaksanakan SPR pada PRK Sandakan khususnya memudahkan pengundi seperti menyediakan kereta buggy dan laluan untuk golongan kurang upaya (OKU) serta warga tua.

Berdasarkan pecahan, katanya, 11 kesalahan dikesan dilakukan DAP dan parti gabungan pemerintah, diikuti tiga kesalahan membabitkan PBS, manakala lima dilakukan calon Bebas.

“Laporan lengkap kesalahan pilihan raya bagi PRK itu akan diserahkan kepada SPR dalam masa terdekat,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *