Anak masih tanya jika bapa balik raya

JANNEYANTI (tiga kiri) melihat gambar arwah bapanya, Jari Abdullah ketika ditemui di rumah mereka. FOTO Poliana Ronnie Sidom

TINGGAL kira-kira dua minggu saja menjelang Aidilfitri, Nadin Junianti Najiri, balu nelayan yang diculik dan ditembak mati di selatan Filipina April lalu, tidak mampu menyediakan keperluan raya untuk tiga anaknya.

Cuma bergantung terhadap ibu mertuanya, Zuana Laudiato, 54, yang mengambil upah mencuci kain di pusat bandar, Nadin, 25, terpaksa melupakan hasrat untuk membeli pakaian baharu untuk anaknya, Jafran Abdullah berusia setahun, Jefriadin Najun, 5, dan Janneyanti, 7.

Ketika ditemui BH, Nadin berkata, hidup mereka kini ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan beliau tidak mampu menyediakan keperluan anaknya lantaran tidak bekerja kerana menjaga anak yang masih kecil.

Ketika suaminya, Jari Abdullah masih hidup, katanya, tiga anaknya boleh menyambut Aidilfitri dengan baju baharu, selain berpeluang menikmati makanan seperti ‘KFC’.

“Sebelum arwah diculik, dia berjanji untuk bawa anak-anak pergi makan ‘KFC’ apabila pulang dari laut. Bukan saja tidak mampu bawa mereka makan ‘KFC’, baju baharu untuk sambut raya pun saya tidak mampu beli.

“Paling menyedihkan saya apabila anak kedua (Jefriadin) kerap bertanya jika bapanya akan pulang berhari raya. Dia masih tidak dapat terima kenyataan bapanya sudah tiada,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Nadin berkata, Aidilfitri kali ini seperti tiada makna buat mereka sekeluarga selepas kehilangan suami tercinta.

Jika dulu, katanya, suaminya adalah orang yang paling sibuk menjelang dua minggu sebelum Aidilfitri mencari daun kelapa untuk membuat ketupat dan pulut yang menjadi makanan wajib mereka setiap kali menyambut perayaan itu.

“Biarpun sudah lebih sebulan berlalu (selepas pemergian suami), kami masih lagi terasa kehilangannya. Raya ini tidak bermakna buat kami. Kami cuma mampu menziarahi kuburnya pada pagi raya dan sedekahkan al-Fatihah dengan harapan rohnya tenang,” katanya.

Jari adalah nelayan rakyat Malaysia yang ditembak mati penculik pada April lalu selepas lebih empat bulan berada dalam tahanan kumpulan penculik di selatan Filipina.

Nelayan terbabit diculik pada 6 Disember lalu ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan bersama dua rakannya yang juga warga Indonesia.

Sementara itu, Zuana berkata, dengan upah cuma RM30 mencuci pakaian dalam sehari, dia hanya mampu menyediakan makanan mereka seharian.

“Ada juga terima bantuan daripada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) baru-baru ini, namun cuma cukup untuk tampung keperluan seharian. Aidilfitri ini mungkin kami cuma boleh sambut ala kadar saja,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *