Sabah perlu perkukuh kedudukan dalam industri sawit menerusi tadbir urus, amalan baik

KOTA KINABALU, 21 Mei – Sabah perlu perkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri minyak sawit dengan perlu bersaing menerusi asas tadbir urus dan amalan pertanian baik untuk kekal berdaya saing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata industri minyak sawit yang berdaya maju dan progresif adalah penting bagi Sabah dan rakyatnya dalam usahanya ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, oleh itu pengusaha industri tempatan perlu kreatif, inovatif dan lebih baik daripada pihak lain untuk mengekalkan kedudukannya di peringkat kebangsaan dan global.

“Industri minyak sawit merupakan sektor ekonomi utama bagi  Sabah, dan sejak sekian lama kita dikenali sebagai pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di Malaysia. Ia juga sumber utama hasil Sabah dan sumber penting bagi kehidupan pekebun kecil kita.

“Cabaran dihadapi industri kelapa sawit tempatan begitu banyak dan pelbagai, dan tiada penyelesaian mudah, tetapi sebagai kerajaan, kami akan terus berusaha keras untuk memastikan persekitaran yang baik untuk industri ini terus cemerlang dan maju,” katanya semasa melancarkan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Pangkalan Kargo Pukal Lahad Datu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Shafie turut mengumumkan POIC Lahad Datu sebagai Pelabuhan Tender dan Pusat Penghantaran bagi MSM dan Niaga Hadapan Minyak Sawit Olein Bertapis Jernih Nyahbau (RBD).

Beliau berkata perkembangan baharu dialami POIC Lahad Datu secara spesifiknya amat penting dalam usaha berterusan kerajaan  Sabah untuk memperkukuh dan perluaskan industri minyak sawit di negeri ini, katanya.

Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Sabah dalan industri minyak sawit negara, serta pengiktirafan terhadap pencapaiannya dalam industri minyak sawit global secara menyeluruh, katanya.

Sehubungan itu, Shafie berkata pemilihan POIC Lahad Datu sebagai Pelabuhan Tender Ketiga bagi MSM dan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Olein Asia Pacific Exchange Pte Ltd (APEX) di Malaysia adalah tepat pada masanya dan menggalakkan.

Beliau berkata status itu bukan sahaja bermakna pengiktirafan terhadap kemudahan pelabuhan dan pukal tambahan di Lahad Datu, tetapi juga manfaat langsung kepada penjual dan pembeli minyak sawit serta mengangkat profil bandar di pantai timur itu dalam peta minyak boleh dimakan global.

APEX adalah bursa komoditi yang berpangkalan di Singapura. Ia menjalankan urus niaga MSM dan Niaga Hadapan Minyak Sawit Olein RBN yang dihantar melalui fasiliti gudang penyimpanan di POIC Lahad Datu.

Mohd Shafie berkata satu daripada faedah segera kepada Sabah adalah pengurangan terhadap apa yang dipanggil ‘diskaun Sabah’ bagi MSM Sabah oleh APEX daripada US$20-US$30 kepada US$10.

Ketua Menteri juga meramalkan peranan yang lebih luas untuk Sabah dalam sektor minyak sawit berikutan faktor kedekatannya dengan China dan India, dua negara pengimport minyak sawit Malaysia.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perkhidmatan antara Ketua Pegawai Eksekutif Sabah (CEO) POIC Sabah Datuk Dr Pang Teck Wei dan pengasas APEX yang juga CEOnya Eugene Zhu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *