Kebocoran di bilik bedah QEH diatasi segera

HOSPITAL Queen Elizabeth Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan negeri mengambil langkah segera bagi menangani masalah kebocoran bangunan yang menyebabkan air memasuki bilik pembedahan Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini, ketika hujan lebat minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi, berkata masalah itu berlaku di beberapa bahagian bangunan di tingkat tiga hospital berkenaan termasuk bilik pembedahan dan unit Perkhidmatan Pensterilan Berpusat berpunca daripada air hujan yang memasuki bangunan dari tingkat empat.

“Ketika kejadian ada lima pesakit di bilik pembedahan dengan dua daripadanya adalah pembedahan pilihan, manakala tiga lagi pembedahan kecemasan.

“Bagaimanapun, hanya seorang tidak dapat menjalani pembedahan kecemasan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video yang tersebar mengenai air memasuki bilik pembedahan ketika doktor sedang menjalankan pembedahan terhadap pesakit pada Khamis lalu.

Hujan lebat yang bermula pada jam 4.30 petang hingga jam 6 petang pada hari itu turut menyebabkan banjir kilat di kawasan letak kereta dan jalan raya sekitar kawasan hospital.

Dr Christina berkata, pada hari berkenaan, pembedahan kecemasan dijalankan di bilik yang tidak terjejas, manakala pembedahan pilihan dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Katanya, langkah segera sudah diambil iaitu membina penghadang konkrit di tingkat empat QEH bagi mengelak kebocoran selain kerja pembersihan di bilik yang terjejas.

Beliau berkata, lapan bilik pembedahan dijangka beroperasi seperti biasa minggu depan, manakala lapan bilik lagi memerlukan pembersihan, pembaikan kecil dan menunggu keputusan ujian kualiti udara sebelum dibuka semula.

“Kita yakin semua akan beroperasi pada 27 Mei. Tiada kerosakan terhadap ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sistem elektrikal disebabkan kejadian itu.

“Jabatan Kesihatan Sabah juga akan mengambil tindakan jangka panjang bagi memastikan masalah itu tidak berulang. Kita juga memohon maaf kepada pesakit atas ketidakselesaan yang timbul,” katanya. – Berita Harian

587