Anggota MPKK DUN Kadamaian akan ditambah – Ewon

Gambar Ewon Benedick

KOTA BELUD, 20 Mei – Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian akan ditambah berdasarkan keperluan Satu Kampung Satu MPKK, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kadamaian berkata DUN Kadamaian ketika ini mempunyai 74 anggota MPKK yang telah menerima watikah pelantikan beberapa bulan lalu, dan pihaknya bersetuju untuk menambah lagi 18 anggota MPKK bagi kawasan berkenaan.

“Penambahan MPKK ini penting bagi memudahkan pengurusan dan melancarkan pelaksanaan pembangunan di kawasan itu memandangkan ada pengerusi MPKK di Sabah termasuk di Kadamaian yang menjaga sehingga tiga kampung,”’katanya berucap merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Tamalang Taginambur di sini, hari ini.

Ewon berkata, semua pejabat daerah di seluruh Sabah telah mengenal pasti kampung yang perlu diwujudkan jawatan kuasa MPKK baharu, dan pihaknya akan membentangkan jumlah penambahan berkenaan kepada Kabinet negeri dalam masa terdekat.

Mengenai Pesta Kaamatan, Ewon berkata, perayaan itu akan terus memberi inspirasi dan kekuatan kepada rakyat negeri ini untuk terus bersatu padu seterusnya memantapkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan di peringkat kampung juga dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan, mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara penduduk kampung dan pemimpin masyarakat setempat, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *