ESScom Tahan 10 PATI Dalam Operasi Khas Di Beluran

10 PATI ditahan dalam satu Operasi Khas Esscom yang dijalankan di Beluran – FOTO Esscom

BELURAN (19 Mei) – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan seramai 10 individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas ESSCOM, di sini pada jumaat.

Komander ESSCOM DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan di sini berkata Operasi yang bermula seawal pukul 10.00 malam dan berakhir pada 2.00 pagi itu turut disertai oleh seorang anggota trafik daripada Ibu Pejabat Polis daerah beluran dan 6 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 Beluran.

Beliau berkata operasi pada kali ini memberi tumpuan terhadap lokasi yang disyaki sering menjadi laluan penyeludup barang-barang kawalan dan bebas cukai serta kemasukan pati ke daerah ini.

“Dalam operasi pada jumaat di laluan Wilmar Sapi Estate menuju ke beluran, anggota ESSCOM telah menahan 10 individu kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah termasuk yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 9 lelaki dan seorang wanita dewasa yang berumur antara 16 – 52 tahun”, katanya.

Beliau berkata kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Beluran untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawa Akta Imigresen 1959/63.

Selain daripada itu, dalam operasi berkenaan juga cawangan trafik ibu pejabat polis daerah beluran telah mengelurkan sebanyak 6 keping saman atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan yang tamat tempoh dan membawa muatan yang berlebihan.

“Pada kali ini, saya telah meminta kerjasama daripada cawangan trafik ibu pejabat polis daerah beluran untuk sama-sama terlibat dalam operasi ini supaya saman boleh dikeluarkan dengan serta merta terhadap individu atau kenderaan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas”, katanya.

Hazani berkata pemantauan dan risikan di kawasan berkenaan akan terus dipergiat dan diperkasa dari semasa ke semasa dalam usaha kita untuk membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan pati melalui jalan-jalan tikus untuk masuk ke daerah-daerah berhampiran seperti Sandakan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. – Esscom