Kumpulan penyamun Pang Loong tumpas

HARIS menunjukkan telefon bimbit pelanggan yang berjaya dirampas kembali daripada suspek.

PENAMPANG: Tindakan sekumpulan lelaki yang aktif menyamun menggunakan pisau pemotong daging di kawasan kedai runcit dan kafe siber sejak Mac lalu berjaya ditumpaskan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, salah seorang anggota kumpulan dikenali Pang Loong itu berjaya ditahan di sebuah apartment kira-kira jam 11 malam 12 Mei lalu.

HARIS menunjukkan telefon bimbit pelanggan yang berjaya dirampas kembali daripada suspek.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu bertindak menyamun sebuah kafe siber di Pekan Donggongon bersama dua lagi rakan sejenayah pada jam 2 pagi 20 April.

“Mereka memasuki premis itu dengan bersenjata pisau pemotong daging dan mengacukannya kepada penjaga kafe serta pelanggan bagi mendapatkan telefon bimbit masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga sempat mengambil peti mesin juruwang yang mengandungi wang tunai RM600 sebelum meninggalkan kafe siber terbabit.

Telefon bimbit yang dicuri oleh penjenayah yang dikatakan berniat membuka kedai untuk menjualnya kembali.

“Hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu kita berjaya menahan suspek dan menemukan beberapa barangan curi di dalam rumah yang dianggarkan bernilai RM8,000.

“Dua lagi suspek kini ditahan di IPD Kota Kinabalu untuk siasatan berikutan terbabit dalam kes pecah rumah di daerah berkenaan,” katanya.

Tambahnya, antara barangan rampasan ialah parang panjang dan lima telefon bimbit termasuklah milik pelanggan yang dilarikan semasa kes samun di kafe siber itu.

Katanya, suspek yang positif syabu itu kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo

Telefon bimbit yang dicuri oleh penjenayah yang dikatakan berniat membuka kedai untuk menjualnya kembali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *