
KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak kira-kira jam 4 petang Khamis menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar ibu negeri digenangi air sehingga 0.5 meter.
Keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk, kerana kebetulan berlaku menjelang petang ketika orang ramai pulang dari bekerja atau hendak ke bazar Ramadan.
Pengguna media sosial berkongsi beberapa gambar kawasan terjejas banjir kilat, antaranya jalan berdekatan Hospital Queen Elizabeth (QEH). Bagaimanapun, banjir mulai surut menjelang jam 7 malam selepas hujan mulai reda.

